fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah kepada Modi, tekad kukuhkan hubungan erat Malaysia-India

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi kerana memenangi penggal ketiga berturut-turut, mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Umum India / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi kerana memenangi penggal ketiga berturut-turut, mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Umum India.

Anwar menyifatkan Modi telah melakukan anjakan memberangsangkan dalam aspek ekonomi India serta bertanggungjawab meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat di seluruh wilayah.

"Proses dan praktik demokrasi di India ternyata mengujakan tatkala lebih dari 642 juta rakyat turun melaksanakan hak mengundi yang telah bermula sejak 19 April yang lalu," kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan Modi.

"Saya bersedia untuk terus bekerjasama dengan beliau sambil kita mempatri era baharu hubungan persahabatan antara Malaysia dan India," kata Anwar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN