
KOTA KINABALU, 15 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu pada pukul 11.30 pagi tadi bagi mengadakan lawatan kerja sehari ke Sabah.
- Disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun di KKIA, bersama menteri kabinet negeri.
- Merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sebuah pusat beli-belah.
- Petang: menghadiri Mini Konvensyen Keadilan, merasmikan MATC negeri, meninjau Bazar Ramadan dan hadir Majlis Berbuka di UMS.
Ketibaan beliau di Terminal II Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Turut hadir beberapa menteri kabinet negeri serta ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Sejurus tiba, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini.
Pada sebelah petang, beliau dijadual menghadiri Mini Konvensyen Keadilan selain merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat negeri Sabah.
Perdana Menteri turut dijadual meninjau Bazar Ramadan di University Apartment (UA), Sepanggar kira-kira pukul 4.55 petang.
Sebelum berangkat pulang ke ibu negara, beliau akan menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada pukul 5.30 petang.