JAKARTA, 28 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Jakarta untuk lawatan kerja selama dua hari ke Indonesia.
Pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma kira-kira 7.40 malam, waktu tempatan.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Turut hadir, Menteri Luar Indonesia, Sugiono, Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, dan Timbalan Gabenor Jakarta, Rano Karno.
Delegasi dari Malaysia turut dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Rombongan turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.