fb fb fb fb fb

PM terima baik pelantikan Tun Musa Aman

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

IPOH, 20 Disember- Kuasa melantik Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman adalah bawah bidang kuasa negeri dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima baik atas pelantikan tersebut dan mendoakan supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Yang Di-Pertua Negeri yang baik untuk negeri Sabah.

"Dalam Perlembagaan memang kuasa negeri, Yang di-Pertuan Agong. Apakah Perdana Menteri tidak tahu? Perdana Menteri tahu, memang dirujuk. Tetapi, Perdana Menteri yang tahu ini pun, tahu perlembagaan dan batasannya.

"Sekarang setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi Yang Di-Pertua Negeri yang baik untuk Sabah", katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku Lim Kit Siang: Malaysian First di Ipoh.

Tambahnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Tun Musa Aman daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2020 adalah ketika dalam pemerintahan kerajaan terdahulu.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan buku Lim Kit Siang: Malaysian First di Ipoh yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bekas pemimpin tertinggi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

ROSLINA BINTI DIN