fb fb fb fb fb

PM tegaskan MAHB tidak pernah dijual kepada pihak asing

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan terus kekal menjadi milik Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit.

Penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) hanya melibatkan pengurusan dan ia adalah amalan sama yang dilaksana MAHB di Turkiye.

Malah Perdana Menteri berkata, pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 70 peratus, meningkat berbanding 40 peratus sebelumnya.

Jelasnya, pengurusan utama iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

"Faktor keselamatan masih milik kerajaan pengerusi syarikat masih dan CEO masih rakyat Malaysia, tetapi penjualan MAHB tidak bangkit sama sekali kerana milik kerajaan daripada 41-70 peratus pengerusi syarikat mestilah rakyat Malaysia, CEO rakyat Malaysia dan keselamatan adalah tanggungjawab Malaysia," kata Anwar.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat.

Sementara itu Anwar berkata, sebarang keputusan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan, seperti Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) bukanlah satu urusan kerajaan dan tidak pernah dirujuk kepada kabinet dan ia telah diamalkan sejak pentadbiran terdahulu.

"Semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah itu bukan urusan kabinet. Saya lihat juga minit mesyuarat kabinet sebelumnya, keputusan pelaburan Khazanah, PNB dan KWSP tidak dirujuk kabinet.

"Termasuk semasa rakan-rakan sebelah sana menjadi jemaah menteri. Tetapi dalam kes ini saya ada maklumkan kabinet. Ini yang berlaku, sebagai makluman saja," katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal Anwar berkata, penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada BlackRock dibuat selepas melalui syarat ketat dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

Daripada jumlah itu, lima syarikat disenarai layak termasuklah BlackRock. Bagaimanapun antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah enggan memberi hak mengurus kepada rakyat Malaysia.

"Khazanah melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan sekitar 145 yang berminat. Akhirnya lima yang layak syarat yang ditetapkan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF