KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Sebanyak RM50,000 disumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Rumah Persatuan Penulis Nasional (PENA).
Ia bertujuan membaik pulih fasiliti Rumah PENA sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata bantuan itu disalurkan Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi yang bertemu pihak PENA bagi mewakili beliau, untuk membincangkan usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.
"Insya-Allah, hasil perbincangan dan sumbangan ini dapat membantu PENA terus memainkan peranan penting mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta memperkasa suara penulis tempatan.
"Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah PENA sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan," menurut kenyataan itu.