KUALA LUMPUR, 13 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap usaha antarabangsa bagi memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin termasuk inisiatif diketuai Arab Saudi dan Perancis
Meskipun terdapat laporan bahawa Amerika Syarikat cuba menghalang penyertaan negara lain dalam satu persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) namun Perdana Menteri menegaskan bahawa setiap negara berhak menyuarakan pendirian mereka dalam isu membabitkan keadilan sejagat.
"Mana-mana negara berhak untuk hadir dan menyatakan pandangan mereka, terutama sekali dalam hal keadilan untuk rakyat Palestin dan Gaza. Itu adalah pendirian kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini ketika mengulas dakwaan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menasihatkan negara-negara lain supaya tidak menyertai persidangan PBB berkaitan penyelesaian antara Israel dan Palestin.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut menyokong secara terbuka inisiatif yang digerakkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam menangani isu tersebut.
"Saya menyokong inisiatif dalam hal ini oleh Putera Mahkota Arab Saudi dan juga Presiden Perancis," katanya lagi.
Malaysia konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk penindasan serta kekejaman yang berlaku di wilayah itu.