
SEPANG, 20 Februari– Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, tiba di Malaysia hari ini bagi mengadakan lawatan khas selama sehari dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
- Kunjungan sehari Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, ke Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala.
- Mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Seri Negara dan majlis makan malam berbuka puasa.
- Delegasi Singapura berbincang isu kerjasama sedia ada dan peluang baharu bagi kerjasama strategik.
- Peranan Singapura sebagai rakan utama Malaysia dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi serantau.
Pesawat yang membawa beliau bersama delegasi mendarat di KLIA Terminal 1 pada kira-kira 4.05 petang sebelum dibawa ke Kompleks Bunga Raya.
Sepanjang lawatan itu, Wong dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Seri Negara, diikuti majlis makan malam yang turut diserikan dengan jamuan berbuka puasa.
Beliau diiringi beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Singapura bagi membincangkan perkembangan kerjasama sedia ada serta isu-isu berkepentingan bersama.
Pertemuan tersebut dijangka menyentuh susulan hasil Pemukiman Pemimpin yang berlangsung pada Disember tahun lalu, selain meneroka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama strategik.
Singapura merupakan jiran terdekat dan antara rakan utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan erat merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
Bagi tahun 2025, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion), meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.