KUALA LUMPUR, 18 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai titik tolak dalam membina kehidupan berteraskan ilmu dan ketakwaan.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar mengingatkan bahawa wahyu pertama, Iqra’ yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ bukan sekadar seruan membaca tetapi panggilan untuk membangunkan peradaban berasaskan ilmu, keadilan dan ihsan.
Beliau turut menekankan kepentingan tadabbur al-Quran dengan mata hati serta merebut peluang keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan pada diri dan seluruh umat Islam dengan pesanan taqwa, teruskan tadabbur al-Quran dengan mata hati, dan kejarlah keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.
"Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan lailatulqadar, malam seribu bulan," katanya.
Seiring dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang menegaskan al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, Perdana Menteri juga mengingatkan hanya mereka yang menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan akan merasai kemanisan taqwa.
"Salam Nuzul Quran saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia walau di mana pun kalian berada," katanya lagi.