KUALA LUMPUR, 26 Jun- Umat islam perlu lebih berani tampil menjelaskan nilai Islam yang sebenar agar dapat menghapuskan persepsi negatif terhadap agama tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam khususnya di rantau ASEAN juga perlu menunjukkan bahawa kita mampu menerima nilai sejagat tanpa mengorbankan identiti dan tradisi Islam.
"Dalam era Islamofobia ini, Islam sering dipandang dengan penuh prasangka, kita perlu mempunyai keberanian dan keyakinan untuk terlibat dalam wacana rasional bagi menyatakan pendirian. Bukan sekadar membalas atau menangkis serangan, tetapi untuk memperjelas posisi kita.
"Umat Islam merupakan majoriti di Asia perlu mampu menghayati nilai dan prinsip etika, sambil menghargai serta memahami kerohanian sebenar, agar dapat berinteraksi dengan penganut agama di rantau ini tanpa perlu bersikap terlalu defensif.
"Kita memiliki satu tamadun dan tradisi yang agung, serta secara relatifnya hidup dalam keadaan yang sangat aman dan damai," katanya ketika berucap merasmikan Simposium ASEAN MADANI Leadership Program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) di ibu negara.
Menyentuh soal pembangunan, Datuk Seri Anwar berkata ASEAN terus menjadi antara rantau paling aman dan dinamik di dunia dari sudut ekonomi dan kestabilan politik.
Namun beliau mengingatkan bahawa pembangunan tidak harus dilihat dari sudut material semata-mata, tetapi juga harus berpaksikan nilai, budaya, keadilan sosial dan kemanusiaan, sebagai asas kepada peradaban yang lestari dan berdaya tahan.