
KUALA LUMPUR, 14 Januari -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang bermula hari ini sehingga Sabtu.
- Perdana Menteri menyeru politik matang berasaskan muafakat dan saling menghormati untuk kestabilan negara.
- Tekanan pada kesepaduan, kebijaksanaan dan iltizam bersama demi kepentingan rakyat.
- Perbincangan berhemah dan bernas penting untuk memperkukuh perpaduan nasional dan Malaysia Madani.
- PAU 2025 diadakan di WTC dengan ribuan perwakilan selepas dua penangguhan untuk persiapan PRN Sabah.
Beliau menegaskan, dalam landskap politik dan ekonomi yang semakin mencabar, kekuatan sebenar negara tidak terhasil daripada perbezaan yang terus dipicu.
Sebaliknya, ia dicapai melalui kesepaduan, kebijaksanaan dan iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat serta negara.
“Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook.
Perdana Menteri turut berharap persidangan itu berlangsung secara tertib, dengan wacana yang bernas serta berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurut Datuk Seri Anwar, perbincangan yang membina dan berhemah penting dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional ke arah pembinaan sebuah negara Malaysia Madani.
PAU 2025 diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Perhimpunan kali ini menghimpunkan 6,412 perwakilan dari seluruh negara.