fb fb fb fb fb

PM seru peralihan teknologi, tolak pertelagahan isu remeh

Anwar Ibrahim/RTM

PUTRAJAYA, 23 Februari- Pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan tenaga harus menjadi keutamaan negara, bukannya terjebak dalam perbalahan isu remeh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia perlu mencontohi negara maju yang kini giat memperkukuh keupayaan teknologi dan mempercepatkan transisi tenaga bagi memastikan daya saing global.

"Negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan. Mereka membincangkan bagaimana negara boleh berubah dengan cepat melalui transisi tenaga.

"Kita tidak boleh terus bergantung kepada tenaga lama, tetapi malangnya kita masih riuh rendah dengan perkara remeh dan bertelagah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Tegasnya, tanggungjawab membawa perubahan tidak terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan sektor swasta, syarikat induk serta jabatan kerajaan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan meningkatkan kecekapan, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan menghentikan amalan yang tidak membawa kemajuan bagi memastikan pembangunan negara terus maju seiring dengan perubahan global.

SITI AISHAH MD ISA