fb fb fb fb fb

PM serah sumbangan banjir di Tanjung Rambutan

Muhamad Arafat Varisai Mahamad (tengah) menyampaikan sumbangan banjir oleh Perdana Menteri kepada KRI yang terjejas/RTM

IPOH, 13 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan kepada 19 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir di Kampung Cheh dan kawasan sekitar Tanjung Rambutan di sini.

Sumbangan itu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Arafat, ketika ditemui pemberita berkata selain bantuan kewangan, pihaknya akan mengambil tindakan jangka panjang untuk mengatasi isu banjir yang sering melanda kampung-kampung berkenaan.

"Pejabat DUN kami mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membawa backhoe (jengkaut) dan membina saluran air sementara bagi mengalirkan air ke sungai.

"Kejadian banjir seperti ini belum pernah berlaku selama beberapa tahun, jadi nampaknya kita perlu berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memperbesar sungai di kawasan ini," jelasnya.

Pada 1 Disember lalu, empat kampung terjejas akibat banjir dengan kawasan kediaman dinaiki air setinggi 0.5 meter. Kampung-kampung yang terlibat termasuk Kampung Cheh, Kampung North Ward, Kampung Masjid dan Kampung Bata.

SITI AISHAH MD ISA