PM selar tuduhan kerajaan serah lebih 5,000 hektar tanah

Foto RTM

BATU CAVES, 30 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keras dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan menipu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kerajaan serah lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia sebagai tidak berasas.
  • Beliau menyifatkan pembangkang menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyebar maklumat palsu dan menipu.
  • Anwar menggesa pembangkang mengemukakan permintaan bertanggungjawab jika mahukan penjelasan, bukan membuat fitnah.
  • Beliau menolak keperluan penjelasan lanjut di Parlimen dan mengecam amalan politik yang memfitnah serta mencemarkan budaya politik.

Menurutnya, pembangkang telah menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyebarkan maklumat palsu serta menggunakan Islam untuk mengelirukan rakyat.

“Inilah masalah pembangkang. Mereka guna kebebasan untuk bercakap merapu dan bohong. Guna nama Islam, tipu, salah fakta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, di sini.

Perdana Menteri menegaskan, jika pembangkang benar-benar mahukan penjelasan, mereka sepatutnya mengemukakan permintaan secara bertanggungjawab, bukannya membuat tuduhan serta ‘hukuman’ sendiri yang bersifat memfitnah.

Beliau turut menolak keperluan untuk memberikan penjelasan lanjut di Parlimen berhubung dakwaan tersebut.

“Tak perlu bagi penjelasan. Pembangkang mesti bertanggungjawab buat tuduhan menipu, memfitnah terus-menerus dan kita tidak boleh terima kaedah politik buruk dan busuk seperti ini,” tegasnya.

Datuk Seri Anwar menekankan amalan politik sedemikian tidak wajar dan mencemarkan budaya politik negara yang sepatutnya berteraskan tanggungjawab serta kebenaran.