AYER KEROH, 22 April - Ibu bapa disaran memberi tumpuan kepada pendidikan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam kedua-dua bidang berkenaan.
"Kerana negara memerlukan tenaga baru, negara memerlukan anak-anak yang mahir dan pakar dalam teknologi maklumat dalam digital dalam kejuruteraan, semikonduktor. Dan ini semua harus kita siapkan kerana peluang itu terlalu banyak.
"Jadi saya harap kerajaan negeri Melaka bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia dan langkah yang diambil oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menumpukan perhatian dalam bidang ini. Saya benar-benar mengharapkan ada perubahan sikap dan minda, kalau tidak kita akan ketinggalan," katanya.
Anwar berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Ketika ini katanya negara memerlukan kira-kira 30,000 tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan, justeru kerjasama ibu bapa dalam merencana pendidikan anak-anak sangat diperlukan.