PM sambut baik gencatan senjata sementara Pakistan-Afghanistan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan daripada rakan sejawatnya dari Pakistan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan global dan mengutamakan dialog, termasuk di Asia Barat serta konflik serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambut baik gencatan senjata sementara antara Pakistan dan Afghanistan sempena Aidilfitri serta menggesa semua pihak meneruskan usaha de-eskalasi.
  • Malaysia memandang serius perkembangan di Asia Barat, terutama ketegangan melibatkan Iran, dan menegaskan keperluan menghentikan eskalasi serta mengutamakan dialog.
  • Malaysia dan Pakistan kekal komited memperkukuh hubungan erat serta kerjasama strategik antara kedua negara.

Beliau berkata, dalam perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, beliau turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata sementara operasi antara Pakistan dan Afghanistan sempena Aidilfitri.

“Sewaktu perbualan telefon itu, saya turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata sementara operasi antara Pakistan dan Afghanistan sempena Aidilfitri, dan menggesa semua pihak untuk meneruskan usaha de-eskalasi ke arah keamanan berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri turut menyatakan Malaysia memandang serius perkembangan di Asia Barat, khususnya ketegangan melibatkan Iran, serta menegaskan keperluan untuk menghentikan eskalasi dan mengutamakan dialog.

Beliau menambah, Malaysia dan Pakistan kekal komited untuk terus memperkukuh hubungan erat serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.