PM rasmi dua acara besar di Kuantan esok

Poster Himpunan Anak Pahang MADANI 2026

KUANTAN, 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka hadir ke Kuantan esok bagi merasmikan dua acara utama iaitu Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 dan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Himpunan Anak Pahang MADANI dijadual pukul 3 petang di perkarangan Pusat Transformasi Bandar UTC Kuantan.
  • Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI berlangsung 3 hingga 5 April di Kompleks Sukan Pahang SUKPA.
  • Dianggarkan kira-kira 5,000 pengunjung untuk himpunan dan 7,000 penyokong untuk kejohanan silat.
  • Himpunan menjadi platform menghimpunkan belia, pemimpin dan komuniti, termasuk sesi inspirasi dan aktiviti komuniti.

Himpunan Anak Pahang MADANI dijadual berlangsung pada pukul 3 petang esok di perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, manakala Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 turut bermula esok hingga 5 April di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA).

Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Mohamad Suhaizan Selamat berkata, kira-kira 5,000 pengunjung dijangka menghadiri himpunan tersebut.

Menurutnya, sekitar 7,000 lagi dijangka memeriahkan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026.

“Harapan saya semua rakyat Pahang termasuk dari seluruh daerah turut serta dalam program ini bagi memastikan ia berlangsung meriah, di samping memperoleh input serta manfaat daripada aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu konti PAHANGfm, di sini.

Mohamad Suhaizan Selamat mejadi tetamu konti PAHANGfm

Himpunan berkenaan menjadi platform menghimpunkan golongan belia, pemimpin dan komuniti bagi mendengar aspirasi kepimpinan negara selain menyertai pelbagai aktiviti komuniti serta sesi inspirasi.

Dalam masa sama, Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 akan menampilkan acara silat seni dan silat tanding membabitkan penyertaan pesilat dari seluruh negara.

Antara atlet yang dijangka mengambil bahagian termasuk Al-Jufferi Jamari, Fazly Mansor dan Suzy Sulaiman.

Orang ramai khususnya warga Pahang dijemput hadir bagi memeriahkan kedua-dua acara tersebut.

Poster Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026