fb fb fb fb fb

PM: Projek tebatan banjir di Kelantan perlu disegerakan, elak krisis berulang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Pantai Irama hari ini

KOTA BHARU, 12 April — Pelaksanaan projek tebatan banjir di Kelantan perlu disegerakan bagi mengelakkan masalah banjir tidak terkawal terus berulang setiap tahun di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kelewatan menyelesaikan masalah banjir bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tetapi turut melibatkan peningkatan kos yang lebih besar maka proses pengambilan tanah perlu dilakukan dengan cepat.

"Kelantan telah menetapkan beberapa projek utama dan tahun ini saya memutuskan supaya projek tebatan banjir yang mengikut fasa kerana perbelanjaannya sangat tinggi, (jadi harus) disegerakan.

"Kita tidak sanggup melihat setiap tahun kerajaan silih berganti, tetapi masalah banjir tetap tidak dapat dikawal," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Pantai Irama, di sini hari ini.

Dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk meneliti dan mencari kaedah baharu yang lebih berkesan.

"Sebab itu saya minta PETRA dan juga Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan melihat beberapa kaedah baharu, kerana kadang-kadang di negeri ini air melimpah banjir, tapi masuk bulan berikutnya kering kontang, air tiada," katanya.

Menurut beliau, teknologi baharu perlu dimanfaatkan bagi memastikan lebihan air banjir dapat disimpan dan digunakan ketika musim kemarau.

"Allah beri kekuatan dan teknologi kepada kita, mungkin air yang melimpah itu boleh disimpan untuk musim kemarau. Ini antara pendekatan baharu yang sedang kita usahakan," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat Kerajaan Negeri Kelantan khususnya Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.

"Saya hormati dan terima baik persahabatan serta kerjasama pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga komited untuk terus mempercepatkan projek-projek berkepentingan rakyat di Kelantan termasuk penyelesaian isu air, infrastruktur asas, kemudahan jalan raya serta program bantuan untuk golongan miskin.

"Air, tebatan banjir dan bantuan untuk rakyat miskin menjadi keutamaan kita di Kelantan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN