PUTRAJAYA,26 Januari- Kementerian Luar diberi tanggungjawab mengetuai sekretariat penganjuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan setiap mesyuarat berkala berkaitan persediaan rapi Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025.
Beliau berkata tiga kluster utama yang sebelum ini diwujudkan akan diperkemas bagi memastikan persiapan penganjuran berjalan lancar.
Kluster tersebut merangkumi politik, pertahanan dan kewarganegaraan diletakkan di bawah Kementerian Luar Negeri. Manakala, kluster ekonomi dan perdagangan berada dibawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kluster budaya dan sosial pula diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Kita akan buat timeline dan kita akan buat mesyuarat berkala untuk kita melihat sejauh mana persiapan seperti yang kita rancang. Setiap kluster itu nanti akan membentangkan status gerak kerja masing-masing, persiapan masing-masing dan dari situ nanti kita akan dapat menilai di mana kita, sama ada mengikut jadual atau tidak. Ini adalah merupakan mesyuarat-mesyuarat yang akan kita jadualkan dan akan dipengerusikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri", katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pertama Persediaan bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.