fb fb fb fb fb

PM minta jemaah menteri kerap turun padang ke Labuan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan/FOTO BERNAMA

LABUAN, 8 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua jemaah menteri lebih kerap turun padang di wilayah bebas cukai itu setiap minggu atau selang seminggu.

Anwar berkata, dengan adanya lawatan kerja daripada menteri dan timbalan menteri, isu berbangkit melibatkan rakyat dan ekonomi dapat diselesaikan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan menteri atau timbalan menteri mesti ke Labuan setiap minggu atau selang seminggu untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan di Labuan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik di pulau itu, kerajaan pusat bercadang agar Petroliam Nasional Bhd (Petronas) membangunkan janakuasa baharu dengan kaedah laluan pantas.

"Keutamaan pemilihan pelaksanaan pembangunan janakuasa ini melalui sistem tender.

"Namun melihat kepada keupayaan dan kredibiliti Petronas, ini tidak akan menimbulkan keraguan seperti wujudnya isu komisyen atau kepentingan pihak-pihak tertentu," jelasnya.

Katanya, janakuasa baharu itu akan membantu kapasiti aliran kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang merupakan operator pengendali bekalan elektrik di wilayah itu.

Bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air dan elektrik di pulau itu, Anwar mengarahkan mesyuarat pihak berkuasa tempatan diadakan pada minggu hadapan.

GRACE AISYAH KEDAYAN