PM, Menteri Luar Iran bincang perkembangan serantau

Foto X Kementerian Luar Iran

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi membincangkan perkembangan serantau di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Iran dan keluarga mangsa atas pemergian pemimpin tertinggi serta korban serangan.
  • Beliau mengecam pencerobohan ketenteraan oleh pihak asing, menyifatkannya bertentangan dengan prinsip dan norma antarabangsa.
  • Anwar menyeru penghentian segera perang, pemulihan keamanan serta kestabilan, dan menyatakan Malaysia akan berusaha sedaya upaya.
  • Araghchi menegaskan Iran tiada permusuhan terhadap negara Teluk Parsi dan menyesali eksploitasi wilayah Islam pada bulan Ramadan.

Kementerian Luar Iran menerusi hantaran X memaklumkan, Datuk Seri Anwar merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian pemimpin tertinggi negara itu Ali Khamenei serta rakyat Iran yang terkorban dalam serangan itu menerusi panggilan telefon.

“Datuk Seri Anwar turut mengecam keras pencerobohan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, dengan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan peraturan, prinsip serta norma moral antarabangsa.

“Perdana Menteri Malaysia turut merujuk kepada rundingan politik yang sedang dijalankannya dengan para pemimpin negara serantau dan menyeru agar perang pencerobohan dihentikan segera serta keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan dipulihkan, sambil menambah bahawa Malaysia akan berusaha sedaya upaya dalam perkara tersebut,” menurut hantaran itu.

Menerusi kenyataan sama Araghchi turut menyatakan bahawa Iran tidak mempunyai permusuhan terhadap negara-negara di sepanjang Teluk Parsi dan kekal komited terhadap dasar hubungan kejiranan yang baik serta persahabatan dengan negara-negara tersebut.

Dalam pada itu beliau juga menyatakan kekesalan apabila wilayah negara-negara Islam di rantau itu telah dieksploitasi pada bulan suci Ramadan untuk melancarkan serangan terhadap sebuah negara Islam dan membunuh umat Islam.