fb fb fb fb fb

PM mahu proses pembinaan kuaters ATM di Sandakan dipercepat

Perdana Menteri menghadiri Program Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera, Sandakan

SANDAKAN, 27 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa supaya proses pembinaan kuarters perumahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sandakan disegerakan.

Beliau berkata, laporan kemajuan projek itu perlu dikemukakan setiap dua minggu bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

“Saya minta laporan kemajuannya setiap dua minggu. Dalam mesyuarat akan datang, Jeneral PAT, Tan Sri Nizam boleh laporkan. Saya nak pastikan proses ini dipercepatkan.

“Asalkan sudah 'tender', kita boleh percepatkan kerana peruntukan RM190 juta telah disediakan dan kerajaan negeri memberi kerjasama penuh,” katanya ketika berucap pada Program Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera, Sandakan.

Projek pembinaan kuarters itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM312 juta yang diluluskan kerajaan untuk tahun 2025, termasuk pembinaan jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa peruntukan tambahan bagi memperkukuh latihan kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan anggota TLDM.

Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, bersama 300 anggota ATM serta keluarga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE