
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan akan mempertingkat penguatkuasaan bagi membendung ketirisan subsidi bahan api termasuk aktiviti penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.
- Kawalan lebih rapi terhadap pengagihan bekalan dan had pengisian mengikut kategori kenderaan untuk memastikan pengagihan bekalan adil dan mencukupi.
- Had pengisian: kenderaan ringan maksimum 50 liter; pengangkutan tidak melebihi tiga tan 100 liter; melebihi tiga tan 150 liter.
- Siling 800 liter dikekalkan untuk pemandu e-hailing dan pekerja gig, mengambil kira tanggungjawab dan keperluan kerja mereka.
- Sabah dan Sarawak terus menikmati diesel subsidi RM2.15 seliter; kerajaan beri pertimbangan geografi dan logistik, namun ketirisan perlu dikekang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu melibatkan kawalan lebih rapi terhadap pengagihan bekalan serta had pengisian bahan api mengikut kategori kenderaan bagi memastikan bekalan mencukupi dan diagihkan secara adil.
Beliau berkata, kenderaan ringan dihadkan kepada maksimum 50 liter setiap pembelian, manakala kenderaan pengangkutan tidak melebihi tiga tan dihadkan kepada 100 liter dan kenderaan melebihi tiga tan kepada 150 liter.
“Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua. Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini,” katanya dalam peruntusan khas hari ini.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar turut mengumumkan had siling bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter dengan mengambil kira tanggungjawab, pekerjaan dan urusan yang mereka harus lakukan.
“Selain itu, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik.
“Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya,
Tambah beliau, mengambil kira faktor geografi dan cabaran logistik di Sabah dan Sarawak, kerajaan membuat keputusan munasabah pada peringkat itu, namun ketirisan tetap perlu dikekang dan dikawal dengan lebih berkesan.