
PUTRAJAYA, 27 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih ramai anggota Jemaah Menteri turun padang ke daerah bagi memastikan isu pembangunan setempat diberi keutamaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan lawatan Perdana Menteri ke Bentong pada 22 Januari lalu.
- Perdana Menteri mahu lebih ramai menteri turun padang ke daerah untuk beri keutamaan kepada isu pembangunan setempat.
- Inisiatif itu dicadangkan selepas lawatan PM ke Bentong dan akan diperluas ke daerah lain seperti Kinta.
- Tujuan langkah ialah memperkukuh penyelarasan pembangunan daerah dan tingkatkan responsif perkhidmatan kerajaan.
Menurut beliau, Perdana Menteri telah menerima taklimat pembangunan daerah semasa lawatan berkenaan dan mahu pendekatan sama diperluas ke daerah lain.
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan ke daerah Kinta di Perak pada hujung Februari dan beliau telah minta agar lebih ramai menteri turun untuk mendengar taklimat-taklimat pembangunan daerah bagi memastikan isu-isu pembangunan di peringkat daerah diberikan keutamaan,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini.
Tambahnya, langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan pembangunan di peringkat daerah serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih responsif terhadap keperluan rakyat.