PM luang masa tinjau Bazar Ramadan di Sepanggar

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibahim

SEPANGGAR, 15 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan di Universiti Apartment (UA), Sepanggar di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Mustapha Sakmud semasa tinjauan.
  • Turut beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sebelum ke Universiti Malaysia Sabah untuk majlis berbuka puasa.
  • Pengunjung dan peniaga meluahkan keterujaan, gementar dan terharu kerana berjumpa Perdana Menteri buat pertama kali.
  • Seorang peniaga memperkenalkan milk cream bun popular Sabah kepada Perdana Menteri sebagai peluang promosi.

Beliau diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud tiba pada 4.53 petang serta turut beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung bazar berkenaan, sebelum ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk majlis berbuka puasa.

Seorang pengunjung, Elizah Mustapha berkata, beliau berasa teruja dan sedikit gementar kerana pertama kali berpeluang bertemu Perdana Menteri secara bersemuka.

“Saya sangat teruja dan pada masa sama berasa gementar kerana ini kali pertama berjumpa Perdana Menteri secara berdepan. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana sudi datang ke Bazar Ramadan di Kota Kinabalu,” katanya.

Seorang peniaga, Ema Amir pula meluahkan rasa terharu apabila kunjungan tersebut berlaku ketika beliau sedang berniaga di bazar berkenaan.

“Saya rasa sangat terharu kerana ini kali pertama saya berniaga di bazar dan Perdana Menteri datang melawat ke bazar Ramadan di sini,” katanya.

Sementara itu, Shafeza Maidi berkata beliau mengambil peluang memperkenalkan produk jualannya kepada Perdana Menteri.

“Hari ini saya cuba memperkenalkan milk cream bun yang sangat popular di Sabah kepada Datuk Seri Anwar. Alhamdulillah, hasrat itu tercapai walaupun persiapan agak terhad, namun saya sangat gembira,” katanya.

Bagi Shahrulnizam Mustapha pula, beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai pengalaman yang menggembirakan kerana dapat bertemu Perdana Menteri buat pertama kali.

“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama dapat berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.