fb fb fb fb fb

PM Kemboja akhiri lawatan rasmi sehari di Malaysia

Gobind Singh Deo dan Hun Manet

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berangkat pulang bersama deligasinya ke Kemboja malam tadi, setelah selesai mengadakan lawatan sulungnya ke Malaysia selama sehari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, beliau menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Kemboja di sini.

Forum anjuran Dewan Perniagaan Kemboja (CCC) dan Majlis Perniagaan Malaysia-Kemboja (MBCC) dihadiri lebih 300 perwakilan dan syarikat perniagaan dari kedua-kedua negara.

Mengiringi kepulangan Hun Manet adalah Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Duta Besar Kemboja ke Malaysia, Ouk Chandara.

Sempena lawatan rasminya ke Malaysia antara perkara dibincangkan antara Hun Manet dan Anwar adalah kemajuan hubungan dua hala; kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertanian dan komoditi; industri halal; tenaga; keselamatan; komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja.

Sementara itu, Gobind berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri Kemboja itu bakal memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Kemboja yang telah terjalin sejak 1957.

"Saya percaya bahawa aspirasi hubungan dua hala ini boleh dicapai menerusi inisiatif-inisiatif pendigitalan yang bakal meneroka pelbagai peluang jalinan kerjasama yang baharu, seterusnya membawa hubungan diplomatik Malaysia-Kemboja ke tahap yang lebih tinggi," ujar Gobind menerusi Facebooknya sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN
Agong terima menghadap Perdana Menteri Kemboja
Nilai pelaburan syarikat Malaysia di Kemboja lebih AS$3 bilion - Anwar
PM Kemboja tiba di Malaysia

SITI AISHAH MD ISA