PM India mulakan lawatan rasmi ke Malaysia esok

Narendra Modi/ AFP

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Perdana Menteri India, Narendra Modi akan memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula esok (Sabtu) atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi dua hari Narendra Modi ke Malaysia bermula esok atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Perbincangan dua hala akan fokus perdagangan, pelaburan, pertahanan, tenaga kerja, pelancongan, pertanian dan pendidikan.
  • Beberapa MoU, MoC, EoN dan EoL akan ditandatangani termasuk dalam pembanterasan rasuah, tenaga kerja, semikonduktor dan keselamatan.
  • Lawatan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik selepas peningkatan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu merupakan lawatan balas susulan lawatan Datuk Seri Anwar ke India pada Ogos 2024. Narendra Modi akan mengadakan lawatan sambil diiringi Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr. S. Jaishankar dan pegawai-pegawai kerajaan.

Pada 8 Februari pula, Narendra Modi akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian; dan pendidikan. Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; piawaian latihan; pensijilan dan pengawasan bagi pelaut; pengurusan bencana; Perjanjian mengenai penerbitan audio visual; Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja.

“Turut berlangsung, Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor; kesihatan; keselamatan negara; dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA),” menurut kenyataan itu.

Datuk Seri Anwar juga akan mengakan jamuan makan rasmi bagi meraikan Narendra Modi.

Lawatan itu dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memupuk kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama, berteraskan asas persahabatan yang kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957 dan peningkatan hubungan dua hala yang telah dinaik taraf ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Stategic Partnership – CSP) pada Ogos 2024.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan India mencapai RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion). Jumlah eksport Malaysia ke India berjumlah RM52.30 bilion (AS$12.24 bilion) manakala import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion).

Barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit; dan produk elektrikal dan elektronik; manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian; produk petroleum; dan produk kimia. India merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia di rantau Asia Selatan.