KUALA LUMPUR, 14 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang pesakit yang menjalani rawatan dialisis, Norhayati Mohd Noor di Kuantan.
Sumbangan tunai dan bakul makanan itu disampaikan kepada Norhayati sekeluarga di rumahnya di Taman Dato' Rashid oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang mewakili Perdana Menteri semasa mengadakan Ziarah MADANI.
"Saat duduk berdepan dengan Puan Norhayati Mohd Noor di rumahnya di Taman Dato Rashid, Kuantan, saya dapat merasai ketabahan seorang insan yang saban minggu menjalani rawatan dialisis.
"Walaupun tubuhnya lemah, wajahnya tetap tenang seolah-olah memberi isyarat bahawa setiap ujian dihadapi dengan reda", katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan oleh Perdana Menteri.
Menurut Datuk Ahmad Farhan, Ziarah MADANI berkenaan bukan sekadar untuk bertanya khabar, tetapi membawa bantuan bagi meringankan beban.
"Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan dan kekuatan kepada Puan Norhayati. Kisah beliau mengingatkan saya bahawa di sebalik setiap penderitaan, ada semangat juang yang tidak pernah padam", katanya.