KUALA LUMPUR, 10 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghargai keterbukaan dan kesediaan pemimpin Thailand serta Kemboja untuk terus berunding bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan sebarang salah anggap yang boleh memburukkan keadaan terutama di kawasan sempadan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata bahawa Malaysia akan terus mendukung dialog aman, penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa serta kerjasama serantau demi menjaga kestabilan dan keselamatan rantau ini.
"Semalam saya telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi membincangkan pergolakan yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara.
"Walaupun belum ada penyelesaian tuntas dicapai, usaha diplomasi berterusan telah memastikan tiada insiden yang lebih serius berlaku dalam beberapa jam yang kritikal ini," katanya.