
PUTRAJAYA, 6 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri tayangan perdana global filem epik Taj Mahal: An Eternal Love Story hari ini, sekali gus menandakan Malaysia sebagai lokasi antarabangsa pertama pelancaran karya sinematik berkenaan di luar India.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri tayangan perdana global filem epik Taj Mahal: An Eternal Love Story di Putrajaya.
- Filem 22 tahun itu dipulih semula dalam restorasi digital 4K dengan bunyi Dolby Atmos untuk pengalaman tontonan imersif.
- Malaysia dipilih sebagai lokasi antarabangsa pertama pelancaran global, mengukuhkan peranan negara sebagai hab budaya dan tayangan perdana serantau.
Datuk Seri Anwar turut menghadiri sesi pratonton khas bagi menyantuni sahabat lamanya, pengarah dan penerbit filem tersebut, Akbar Khan.
“Dia melakukannya dengan sangat baik, satu kerja yang sungguh cemerlang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat menonton filem epik Taj Mahal : An Eternal Love Story di sini.
22 tahun selepas tayangan asalnya di India, filem pemenang anugerah itu dihidupkan semula menerusi restorasi digital 4K yang menyeluruh, lengkap dengan adunan semula bunyi Dolby Atmos, sekali gus menawarkan pengalaman tontonan imersif kepada penonton masa kini tanpa menjejaskan keagungan asal filem tersebut.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta pelakon asal filem itu Zulfi Syed dan Pooja Batra.
Taj Mahal: An Eternal Love Story mengisahkan percintaan legenda Maharaja Mughal, Shah Jahan dan Permaisuri Mumtaz Mahal, yang menjadi inspirasi pembinaan monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India.
Sebagai negara pertama menganjurkan pelancaran global filem epik ini bersama FINAS, Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab budaya dan tayangan perdana antarabangsa di rantau ini