fb fb fb fb fb

PM bidas campur tangan luar dalam krisis Venezuela

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook menyifatkan operasi menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya sebagai penggunaan kekerasan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

KUALA LUMPUR, 4 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung tindakan Amerika Syarikat menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya dalam satu operasi ketenteraan yang disifatkan luar biasa dari segi skala dan bentuk.

Menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, tindakan tersebut jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

Menurutnya, Presiden Maduro dan isterinya perlu dibebaskan tanpa sebarang kelewatan kerana penggulingan secara paksa seorang ketua kerajaan melalui campur tangan luar mewujudkan duluan yang berbahaya dalam hubungan antarabangsa.

Katanya, sebarang campur tangan sedemikian melemahkan batasan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan menjejaskan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada tertib dunia.

Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa masa depan politik Venezuela seharusnya ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri, bukan melalui tekanan atau tindakan ketenteraan luar.

Beliau berkata, sejarah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan yang berlaku secara mengejut akibat campur tangan luar lazimnya membawa lebih banyak kemudaratan, terutama kepada negara yang sedang berdepan kesukaran ekonomi dan tekanan sosial.

Malaysia, katanya, memandang tinggi prinsip kedaulatan negara dan pematuhan undang-undang antarabangsa sebagai asas kepada hubungan aman antara negara.

Beliau menambah bahawa pendekatan dialog, penglibatan konstruktif dan usaha meredakan ketegangan merupakan jalan paling berkesan untuk melindungi orang awam serta memastikan rakyat Venezuela dapat meneruskan aspirasi mereka tanpa sebarang risiko tambahan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN