KUALA LUMPUR, 7 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bekas penyerang skuad bola sepak kebangsaan, Azman Adnan untuk membantu urusan harian dan perubatannya.
Hantaran dalam media sosial Anwar hari ini memaklumkan sumbangan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi, semalam, ketika menziarahi Azman yang sedang menderita akibat sakit tulang kaki sehingga memerlukan rawatan fisioterapi secara berkala.
Azman, 53, turut menderita beberapa masalah kesihatan lain yang menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat serta terputus sumber pendapatan.
"Semoga saudara Azman cepat sembuh, Insya-Allah," kata Anwar dalam hantaran itu.
Azman sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Beliau juga pernah mengendalikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2014 hingga 2015.