KUALA LUMPUR, 14 November- Kejayaan misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November lalu menghasilkan resolusi yang sangat baik serta menunjukkan bibit awal kesatuan ummah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata bukan sahaja Malaysia tetapi umat Islam seluruh dunia harus terus bersatu padu dalam usaha memperjuangkan isu Palestin ke peringkat lebih tinggi melalui pelbagai platform antarabangsa.
"Semua yang disebut oleh Perdana Menteri dalam ucapan beliau dalam mesyuarat persidangan tersebut terkandung dalam resolusi tersebut. Saya merasakan bahawa ini merupakan kejayaan awal negara kita dalam membawa aspirasi untuk menyediakan cadangan dan idea bagaimana untuk memperjuangkan isu Palestin kerana isu Palestin ini bukan isu agama, tetapi isu kemanusiaan," katanya.
Zulkifli menambah kenyataan yang dibawa oleh Perdana Menteri merupakan cadangan yang baik dan berani, memandangkan Israel telah terbukti melakukan kezaliman terhadap Palestin dan memberi kesan kepada ketidakstabilan dunia Islam.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan ilmiah bersama warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam Siri Jelajah Aspirasi Malaysia Madani ke Institusi Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru, dan sekolah-sekolah.
Dalam majlis itu turut disampaikan bantuan zakat Tabung Haji (TH) sebanyak RM350,000 melalui program Iqra’ TH IPTA 2024. Program tersebut melibatkan agihan dana berjumlah RM9 juta untuk 19 buah universiti di seluruh negara.