PUTRAJAYA, 7 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya diperluas.
Ini kerana jumlah kemalangan di negara ini direkodkan mencecah hingga 600,000 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ,perkara itu disuarakan susulan pertemuan Perdana Menteri dengan Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye, semalam.
"Manakala isu yang berkaitan adalah kemalangan jalan raya paling tinggi dicatatkan, membabitkan dalam kalangan pengguna motosikal terutama bagi yang berusia 18 ke 35 tahun.
"Oleh itu perdana menteri memberi penegasan bahawa kempen kesedaran perlu dilipat ganda dan diperluas," kata Fahmi dalam sidang media mingguan di kementeriannya, di sini.
Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, potret rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah boleh didapatkan di Kementerian Komunikasi mulai esok.
Manakala bagi orang ramai pula potret itu akan disediakan melalui Jabatan Penerangan Negeri dan Pegawai Penerangan daerah masing-masing.
"Maka bagi kementerian-kementerian, jabatan-jabatan yang berkaitan ataupun berdekatan boleh mula memperoleh potret rasmi ini bermula esok di kementerian ini. Jadi mereka boleh hadir untuk dapatkan," katanya.