PM arah fokus kesiapsiagaan prasekolah, tahun satu

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

PUTRAJAYA, 23 Januari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meneliti maklum balas susulan pengumuman dan peluncuran Rancangan Pendidikan Negara, khususnya berkaitan persiapan pendidikan awal kanak-kanak dan pendidikan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan pada kesiapsiagaan prasekolah untuk kanak-kanak lima tahun sebelum memasuki Tahun Satu.
  • Percepatan penyediaan bilik darjah baharu menggunakan sistem IBS dengan kerjasama KKR dan JKR.
  • Persediaan guru melalui IPG untuk menampung pertambahan murid Tahun Satu dan keperluan tenaga pengajar.
  • Perincian laluan ke IPTA bagi pelajar daripada Maahad Tahfiz dan sistem pendidikan lain akan diumumkan.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berdasarkan hasil penelitian itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada tahap kesiapsiagaan prasekolah bagi kanak-kanak berusia lima tahun serta murid Tahun Satu berusia enam tahun.

“Kementerian Kewangan diminta untuk meneliti proses bagi mempercepat mengikut tata cara yang rapi tapi juga bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kerja Raya khususnya JKR kerana untuk menyiapkan bilik-bilik darjah yang baru menggunakan sistem IBS perlukan kerjasama yang baik dengan pihak JKR.”

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini.

FOTO RTM

Dalam masa yang sama, guru-guru perlu disiap-siagakan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menghadapi kemungkinan pertambahan murid Tahun Satu tahun hadapan susulan kemasukan murid berusia enam dan tujuh tahun secara serentak, selain memenuhi keperluan tambahan tenaga pengajar.

Beliau turut berkata, terdapat permintaan daripada institusi pendidikan seperti Maahad Tahfiz bagi penempatan guru, khususnya untuk pelajar Tingkatan Satu ke atas, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi memperincikan laluan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar daripada pelbagai sistem pendidikan, termasuk Maahad Tahfiz dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Jelas beliau, perkara itu akan diperjelaskan menerusi kenyataan susulan oleh kedua-dua kementerian berkenaan.