KUALA LUMUR, 5 Julai –Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Keir Starmer selaku Ketua Parti Buruh atau bakal Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK).
“Tahniah kepada Keir Starmer dan Parti Buruh atas kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Umum UK,” kongsi Anwar menerusi Facebook.
Starmer mencapai kemenangan besar selepas pembangkang, Parti Buruh berhaluan kiri mendahului kiraan undi dalam Pilihan Raya Umum UK, sekali gus menamatkan pemerintahan konservatif parti berhaluan kanan selama 14 tahun.
Tambah Anwar, kerjasama antara Malaysia dan Britain terus dipupuk; terjalin menerusi hubungan erat sejak sekian lama.
“Penyertaan Britain dalam CPTPP (Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik) memperluaskan ruang perkongsian ekonomi kami”, jelas Perdana Menteri.
Tambahnya, Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDA - Five Power Defence Arrangements) berfungsi sebagai asas keselamatan bersama, meningkatkan kestabilan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan lebih erat.
“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan Starmer dan pasukannya dalam membangunkan hubungan strategik baharu, dibina atas keterangkuman, kesaksamaan, saling hormat-menghormati, hubungan antara individu ke individu dan berkongsi visi bersama demi masa hadapan”, kata Anwar.
Setakat 4.00 pagi waktu tempatan, Parti Buruh memperoleh 326 kerusi daripada 650 kerusi parlimen yang dipertandingkan, sekali gus melepasi majoriti mudah diperlukan di Dewan Rakyat.
Keputusan akhir dijangka diketahui pada Jumaat waktu tempatan.