KUALA LUMPUR, 6 April - Semua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), diingatkan untuk sentiasa bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesan kepada anggota penguat kuasa berkenaan, ketika membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), semalam.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, Anwar juga mahu semua anggota berkenaan memastikan tiada lagi kecurangan berlaku, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Dalam hantaran sama beliau turut berkongsi video rangkuman tinjauannya ke LTAPP yang melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya JKDM dan JIM.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar, sempena lawatannya ke negeri itu semalam dilapor berkata pembesaran LTAPP merupakan antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut.