BERLIN, 11 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Berlin, Jerman pada pukul 10.29 malam waktu tempatan (5.29 pagi Malaysia) untuk lawatan rasmi selama lima hari ke negara tersebut.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Lapangan Terbang Bradenburg Berlin disambut oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Ahmad Rozian Abdul Ghani dan wakil Kerajaan Jerman.
Lawatan Anwar ke Jerman turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Esok, Perdana Menteri dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank Walter Steinmeier dan bertemu rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz.
Lawatan rasmi Anwar adalah bagi memenuhi jemputan Presiden Jerman.
Sementara itu, Anwar menerusi Facebooknya berkata, kunjungan ke negara itu akan membuka peluang kepada beliau dan pemimpin Jerman untuk membincangkan kemajuan hubungan kedua-dua negara, selain meneroka kerjasama baharu.
"Lawatan ini juga membolehkan saya berkongsi persekitaran kondusif negara dalam usaha menarik para pelabur berpotensi dari Jerman untuk melabur di Malaysia.
"Doakan urusan saya dan delegasi Malaysia di Jerman dipermudahkan, Insya-Allah," katanya.