fb fb fb fb fb

PM Anwar kutuk serangan terbaharu Israel terhadap Iran

Anwar Ibrahim

KAJANG, 19 April- Malaysia kekal dengan pendirian mengutuk tindakan Israel yang melakukan serangan ke atas Iran termasuk serangan terbaharu zionis di wilayah Isfahan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut jelas melanggar kesemua peraturan antarabangsa yang berkali-kali diingkari pihak Zionis.

"Pendirian kita, pertama, mesti mengutuk serangan (Israel) terhadap kedutaan. Kedua, kita mahu pendamaian. Yang terkesan ini ramai, bukan sahaja di Asia Barat, dunia Arab atau Iran, malah seluruh dunia.

"Ini akan menyebabkan melambung harga minyak, (kos) pengangkutan yang meningkat tinggi, tidak boleh guna Terusan Suez, kena guna jalur lain," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Anwar berkata, sikap berdiam diri kuasa-kuasa besar barat setiap kali Israel melakukan serangan biadab misalnya ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini telah menjadikan tindakan Israel semakin tidak terkawal.

"Zionis Israel secara zalim telah bertindak menyerang konsulat Iran, dan ini melanggar kesemua peraturan antarabangsa.

"Kalau kita lihat naratif dan kenyataan beberapa negara barat, hampir sama sekali tiada kutukan atau bantahan (terhadap serangan Israel itu).

"Sebab itu kita menggesa dijamin keamanan, dihentikan secara agresif keganasan Israel yang terus berlaku kerana keengganan kuasa besar barat mengambil tindakan mengawal tindakan zalim dan ganas yang dilakukan Israel," tambah beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas petang ini bagi membincangkan situasi semasa di Iran termasuk kemungkinan membawa pulang rakyat Malaysia di negara itu susulan serangan rejim Israel.

"Jika keadaan (di Iran) nampak mencemaskan bagi rakyat Malaysia, kita akan bawa mereka pulang," katanya.

Israel hari ini melancarkan serangan ke atas Iran sebagai tindakan balas terhadap serangan Tehran pada hujung minggu lepas.

Tel Aviv sebelum ini memberi amaran akan menyerang semula selepas Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel pada hujung minggu lepas.

Serangan Tehran itu bagi membalas tindakan Israel yang mengebom konsulat Iran di Damsyik pada 1 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN
Peluru berpandu Israel sasar kedutaan Iran
Letupan di Iran, media AS lapor serangan Israel

Konflik Israel-Iran harus temui titik noktah - Penganalisis
Israel terima padah jika serang tapak nuklear - Iran
Konflik Israel, Iran : Syarikat penerbangan tukar laluan

SITI AISHAH MD ISA