BUKIT PIATU, 12 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di enam negeri sebagai usaha mendekati dan menyantuni rakyat di negeri berkenaan.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, usaha itu adalah bagi mendengar sendiri sebarang permasalahan negeri-negeri yang terlibat.
Tambahnya, sambutan Aidilfitri itu akan bermula di negeri Johor pada 18 April ini, seterusnya Sabah 20 April, Melaka 22 April, Terengganu 1 Mei, Kelantan 2 Mei dan Kedah pada 4 Mei.
Manakala, Penutup Program MADANI Rakyat itu dijangka akan diadakan di Pulau Pinang.
"Saya yakin Perdana Menteri ingin meluangkan masa untuk turun ke negeri-negeri yang kita tahu antara agenda yang rasminya atau pun agenda yang telah ditetapkan.
"Pertamanya untuk buat pertemuan dengan negeri, melihat sendiri, mendengar sendiri taklimat daripada ketua-ketua negeri dan kemudiannya berbincang tentang apakah projek-projek tertentu yang menjadi keutamaan negeri tersebut yang menjadi dukungan daripada Kerajaan Persekutuan dan selepas itu program bersama rakyat.
"Jadi saya fikir, itu lebih efektif dan lebih kemas kerana saya percaya Perdana Menteri ingin mendengar terus daripada masyarakat", katanya yang ditemui pada Majlis Terbuka Aidilfitri anjurannya di Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka.
Terdahulu, Perdana Menteri, memutuskan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana, tahun ini.
Perdana Menteri berkata, beliau hanya akan menghadiri majlis sedemikian yang dianjurkan di peringkat negeri atau kementerian.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengingatkan semua pihak supaya lebih berhemat dan menganjurkan majlis hari raya dalam skala sederhana.