PM ajak Umat Islam hayati Nisfu Syaaban

Foto hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di seluruh negara untuk memperbanyakkan zikir serta berdoa memohon keampunan dan perlindungan daripada segala bentuk kesusahan dan bala bencana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peringatan bahawa Ramadan semakin hampir, galakkan persiapan kerohanian rapi.
  • Perbanyak zikir dan doa mohon keampunan serta perlindungan daripada kesusahan.
  • Istiqamah dalam ibadah memberi ketenangan jiwa serta membersihkan hati daripada kebencian.
  • Hayati doa Surah Al-Hashr ayat 10; mohon dijauhkan sifat dengki dan dendam.

Beliau menekankan malam Nisfu Syaaban yang penuh keberkatan ini menjadi peringatan bahawa bulan Ramadan Al-Mubarak semakin hampir.

“Tiada yang lebih bererti selain persiapan kerohanian yang rapi, kita akan jalani kembali madrasah Ramadan dengan cita-cita amalan kita akan lebih baik dari sebelumnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Datuk Seri Anwar menegaskan amal ibadah yang dilakukan secara istiqamah, bukan sahaja mampu memberikan ketenangan jiwa, malah dapat memupuk dan membersihkan hati daripada sifat kebencian serta hasad dengki.

Perdana Menteri turut mengajak umat Islam menghayati doa dalam Surah Al-Hashr ayat 10 dan memohon agar Allah SWT menjauhkan mereka daripada sifat dengki dan dendam sesama umat Islam.