
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong yang dalam lawatan khas ke Malaysia.
- Pertemuan empat mata Mesra dan tertutup antara Perdana Menteri Malaysia dan Lawrence Wong di Seri Negara.
- Majlis makan malam rasmi dianjurkan sempena lawatan khas wakil Singapura itu.
- Kedua pemimpin melawat galeri bersejarah termasuk Ruang Merdeka: Galeri Khazanah.
- Lawatan menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama strategik dan hubungan dua hala memberi manfaat bersama.
Pertemuan tersebut berlangsung di Seri Negara di sini dan Datuk Seri Anwar turut menganjurkan majlis makan malam bersempena lawatan Wong.
Beliau tiba di Seri Negara pada pukul 7.05 malam dan disambut Datuk Seri Anwar, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata dalam suasana mesra dan tertutup.
Kedua-dua pemimpin juga berkesempatan melawat beberapa galeri di bangunan bersejarah itu termasuk “Ruang Merdeka: Galeri Khazanah”.
Turut hadir Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Shahrol Anuwar Sarman dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Lawatan khas ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia-Singapura dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan hubungan dua hala terus dinamik, stabil dan memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan isu kepentingan bersama termasuk hasil pemukiman pemimpin pada 4 Disember lepas.
Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.