NEW DELHI, 21 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di India.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata antara syarikat yang terlibat adalah Biocon, Reliance Industry Limited, Indian Oi, BEML Limited dan JK Tyre.
"Ruangan dan peluang ini saya gunakan untuk terus memberi jaminan kepada mereka bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan.
"Malaysia juga akan menjamin peluang pelaburan yang progresif bagi pelabur-pelabur dari India.
"Semoga usaha Malaysia dalam menarik para pelabur dipermudah, sekali gus memanfaatkan rakyat keseluruhannya, Insya-Allah," katanya.