KUALA LUMPUR, 15 April - Sebanyak 99 tandas mudah alih ditempatkan di 17 kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah plaza tol terpilih.
Ia bagi membantu melancarkan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan, pelbagai inisiatif disedia bagi membantu melancarkan perjalanan pengguna pada waktu puncak sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri kali ini.
PLUS turut menempatkan anggota RELA di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk pengurusan trafik.
Selain itu, terdapat lebih 4,500 petugas dalam ekosistem lebuh raya yang bertugas untuk memberi bantuan selain 1,500 kakitangan yang bertugas membantu operasi di plaza tol.
Lebih 1,000 lorong tol beroperasi sepanjang musim perayaan.
PLUS turut memaklumkan, terdapat lebih 500 anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda bertugas.
Manakala untuk menguruskan talian PLUSLine dan menyelaras bantuan, lebih 50 kakitangan bertugas di Pusat Pemantauan Trafik (TMC) .