PLUS aktifkan Smart Lane di 32 lokasi sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar (tengah) bercakap pada sidang media ketika Jelajah Media ke Wilayah Tengah Lebuhraya Plus sempena Tahun Baru Cina, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, peningkatan hampir 16 peratus berbanding hari biasa di rangkaian Lebuhraya PLUS.

RINGKASAN BERITA AI
  • PLUS aktifkan Smart Lane di 32 lokasi tumpuan trafik untuk kurangkan kesesakan dan percepatkan pergerakan kenderaan semasa waktu puncak.
  • PLUS gunakan tiga pendekatan strategik: Smart Lane, pengurusan trafik dan insiden efisien, serta peningkatan keselesaan pengguna.
  • Lebih 6,000 petugas disediakan dan pengguna digalakkan rancang perjalanan menerusi aplikasi MyPLUS-TTA serta maklumat trafik digital.

Hari puncak bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang dijangka berlaku pada 12, 13 dan 14 Februari, manakala perjalanan kembali ke ibu kota dijangka memuncak pada 20, 21 dan 22 Februari ini.

Bagi memastikan aliran trafik lebih lancar, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 32 lokasi tumpuan trafik sepanjang lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan serta mempercepatkan pergerakan kenderaan ketika waktu puncak.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pengaktifan Smart Lane merupakan antara tiga pendekatan strategik utama PLUS selain pengurusan trafik dan insiden yang lebih efisien serta peningkatan keselesaan pengguna.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan lalu lintas dan memandu secara berhemah ketika menggunakan Smart Lane, selain tidak menggunakan lorong kecemasan di luar kawasan pengaktifan bagi menjamin keselamatan semua pengguna,” kata beliau pada sidang media sempena Jelajah Media Wilayah Tengah PLUS di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di sini hari ini.

Dalam pada itu, PLUS turut menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal melalui jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS bagi tempoh 11 hingga 22 Februari 2026.

Pendekatan digital itu membantu pengguna memilih waktu perjalanan paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi mengelakkan tempoh perjalanan yang lebih panjang.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, kira-kira 6,000 petugas lebuh raya turut disediakan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat, lancar dan selesa sepanjang musim perayaan.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik semasa melalui aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik, paparan mesej elektronik di lebuh raya, siaran radio utama atau menghubungi PLUSLine 1800-88-0000 dan LPT2Line 1800-88-0220 sekiranya berlaku kecemasan.