fb fb fb fb fb

Platform MyMall lonjak kemajuan PMKS, catat nilai jualan RM2.7 juta - Senator

(Saraswathy Kandasami)

KUALA LUMPUR, 26 September- Seramai 1,207 penjual aktif termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berada dalam platform MyMall melibatkan lebih 1,200 produk dengan nilai jualan dicatatkan sebanyak RM2.7 juta, setakat ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami berkata, kementerian melaksanakan penyertaan usahawan secara percuma di peringkat lapangan atau dalam talian sebagai galakan lebih ramai usahawan PMKS menyertai platform tersebut.

"Selain menikmati platform e-dagang tanpa caj, usahawan yang berdaftar di MyMall memiliki kelebihan termasuk diberi akses terhadap alat-alat bantuan perniagaan, latihan keusahawanan, serta peluang mendapatkan pembiayaan perniagaan," katanya pada sidang Dewan Negara di sini.

MyMall turut menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMKS. 

Dalam pada itu, Saraswathy turut menjawab pertanyaan Senator Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mengenai usaha bagi membantu melahirkan syarikat 'unicorn' iaitu syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.

Saraswathy berkata, secara umum Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tidak mempunyai program khusus untuk membangunkan syarikat 'unicorn'.

Ia seiring mandat kementerian yang memberi fokus kepada pembangunan PMKS termasuk usahawan pemula melalui program termasuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp yang ditawarkan kepada usahawan pemula daripada golongan belia Bumiputera berumur 18 sehingga 30 tahun.

"KUSKOP melalui SME Bank sedang melaksanakan Program TITAN yang merupakan satu program pembangunan usahawan peringkat tinggi.

"Melalui program ini, peserta terpilih akan dibimbing secara berstruktur untuk mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan dengan 500 peratus CAGR (kadar pertumbuhan tahunan dikompaun) dalam tempoh lima tahun.

"Sejak tahun 2022, sebanyak 11 buah syarikat telah dipilih dan sedang dibimbing secara berterusan di bawah Program TITAN dengan merekodkan nilai pendapatan terkumpul sebanyak RM970 juta," katanya.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu