fb fb fb fb fb

PKR Sungai Petani kekalkan kepimpinan sedia ada

FOTO FACEBOOK Taufiq Johari

SUNGAI PETANI, 22 Mac- Barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Sungai Petani dipilih semula secara tidak rasmi tanpa sebarang pertandingan dalam pemilihan parti itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Muhammed Taufiq Johari berkata tiada calon lain mengemukakan pencalonan atau menarik diri sehingga tarikh akhir pada Khamis.

Beliau berkata keputusan itu membolehkan pihaknya memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Fokus utama kami adalah mengekalkan kemenangan di Parlimen Sungai Petani serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang dan Sidam.

"Selain itu, kami berusaha merampas DUN Pantai Merdeka serta memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.

"Sungai Petani bersama DUN di bawahnya akan menjadi penyumbang kerusi bagi kemenangan PKR khususnya di Kedah. Kami tekad mengembalikan mandat kepada rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program walkabout dan edaran bubur lambuk di Bazar Ramadan Taman Ria, semalam.

Dalam pada itu, Muhammed Taufiq turut mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan PKR Mei ini selepas mendapatkan pandangan daripada aktivis di peringkat pusat dan negeri.

SITI AISHAH MD ISA