fb fb fb fb fb

71 buah rumah projek nelayan siap dibina di Sarawak

Projek perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) Semop berhampiran projek pembinaan jambatan-jambatan Batang Lassa dan Batang Paloh di sini bakal memberikan nafas baharu kepada Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) yang telah lama dirancang di kawasan persisiran Sarawak/FOTO FAIL BERNAMA

MIRI, 18 Disember - Sebanyak 71 buah rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) telah siap dibina di negeri ini dari tahun 2012 sehingga 2023 dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sementara itu sebanyak 4, 735 buah rumah nelayan telah dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM53.5 juta pada tempoh yang sama.

"Sebanyak RM2.24 juta akan diperuntukkan pada tahun depan untuk membina 28 buah rumah nelayan di bawah PKPN di Sarawak," katanya pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah PKPN di Kampung Kuala Sibuti, di sini semalam.

Tiga penerima rumah PKPN merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri dan nelayan yang aktif.

Bagi PKPN di Miri, setiap rumah telah diperuntukkan sebanyak RM80,000 menjadikan jumlah peruntukan yang diluluskan untuk membina ketiga-tiga buah rumah adalah RM240,000.

Projek yang bermula pada 10 Ogos lepas telah siap sepenuhnya pada 23 Oktober tahun ini dengan 3 peneraju utama iaitu PNK Miri, PNK Kabong dan PNK Bruit dengan konsep gotong royong.

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan melawat Pasar Nelayan Kuala Bakam, Miri dan mengunjungi ketiga-tiga buah rumah peserta.

Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) merupakan bantuan yang diberikan kepada nelayan yang berpendapatan rendah untuk membaik pulih rumah dan membina rumah baharu.

Projek ini juga akan membangunkan penempatan semula nelayan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

GRACE AISYAH KEDAYAN