fb fb fb fb fb

PKMMNK sambut baik langkah kerajaan gandakan bayaran balik cukai

Yang Dipertua PKMMNK, Datuk Mohammad Fauzee Mohamad (tengah)

ALOR SETAR, 10 Disember- Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah (PKMMNK) menyambut baik keputusan kerajaan menggandakan peruntukan pembayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepat pembayaran tertunggak kepada pembayar cukai.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohammad Fauzee Mohamad berkata tindakan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembayar cukai yang menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau turut berharap kerajaan mengkaji semula kadar penalti yang dikenakan bagi pembayaran cukai yang lewat.

“Cukai yang perlu dibayar adalah cukai berjadual dan sekiranya lewat, penalti tetap dikenakan. Saya berharap Perdana Menteri juga dapat meneliti semula kadar penalti yang agak tinggi dikenakan.

Bagaimanapun, kami menyambut baik langkah kerajaan yang menggandakan peruntukan daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif ini," kata Datuk Mohammad Fauzee kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas mengadakan perjumpaan dengan kontraktor Kedah.

Selain itu, Datuk Mohammad Fauzee menegaskan, peningkatan ambang pengecualian cukai kepada RM1 juta memberi ruang kepada peniaga kecil dan kontraktor untuk mempersiapkan diri ke arah pendigitalan, termasuk pelaksanaan e-invois.

"Begitu juga dengan kenaikan ambang pengecualian kepada RM1 juta, yang membantu seluruh peniaga kecil dan kontraktor kecil kerana mereka tidak lagi perlu melaksanakan e-invois," tambah beliau.

PKMMNK juga membawa harapan agar variasi harga (VOP) dikembalikan bagi mengimbangi kenaikan kos binaan.

Berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tindakan tegas terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek, persatuan merayu supaya kerajaan mengkaji semula kos projek semasa selaras dengan kenaikan kos bahan binaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM