fb fb fb fb fb

Pink Oktober, tingkat kesedaran kesihatan

Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Usaha mempertingkat kesedaran, pencegahan dan diagnosis atau saringan awal kanser dalam kalangan rakyat perlu diperkukuh, demikian dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau juga menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama meraikan, menyokong serta menghayati semangat Pink Oktober 2024 untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara sihat.

"Budaya hidup sihat patut direncanakan menjadi agenda utama negara kita. Bukan saja di peringkat kementerian, bukan saja di peringkat swasta tapi lebih penting ialah ianya menjadi budaya kehidupan kita semua.

"Jaga pemakanan, gaya hidup untuk kita sentiasa memastikan badan kita cergas dan cerdas luar dan dalam supaya berada dalam keadaan terbaik. Jadi caranya ialah jaga pemakanan, banyakkan bersenam dan sebagainya," katanya.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pink Oktober 2024 di Institut Kanser Negara, di sini.

Beliau turut menyampaikan plak pelantikan kepada pelakon Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin sebagai Ikon Karnival Pink Oktober.

Karnival bertemakan 'Living Well, Living Together', bertujuan mengangkat nilai kesedaran, kekuatan dan kebersamaan.

Pink Oktober adalah inisiatif global menekankan mengenai kesedaran dan kepentingan pencegahan kanser payudara, yang dirai pada bulan Oktober setiap tahun sebagai bulan kesedaran kanser payudara di seluruh dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI